Kamis, 26 Desember 2013

Klinik Kaunseling Keluarga Pertama Di P Pinang


BUTTERWORTH – Klinik Kaunseling Keluarga yang pertama diwujudkan di Rumah Nur Parlimen Tasek Gelugor, di sini akan menjadi pusat rujukan atau pusat sehenti kepada penduduk negeri ini yang mahu mendapatkan khidmat nasihat termasuk, mangsa keganasan rumah tangga.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid berkata klinik berkenaan berfungsi menyediakan perkhidmatan tambahan terutama dalam aspek kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga di samping agensi sedia ada.

“Buat permulaan Rumah Nur Seberang Perai Utara (SPU) di Teluk Air Tawar ini akan menjadi ‘tuan rumah’ dan memberi perkhidmatan kepada penduduk negeri ini terutama sekitar SPU, sebelum ia dibuka di setiap daerah pada masa hadapan.

“Klinik itu akan beroperasi setiap hari Sabtu bermula 10 pagi hingga 1 petang dan orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat boleh datang mendapatkan perkhidmatan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Klinik Kaunseling Keluarga itu, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya.

Klinik berkenaan menggabungkan lapan agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pelajaran, Jabatan Bantuan Guaman selain Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Jahara berkata enam daripada agensi terbabit bakal memberi khidmat nasihat mengenai masalah rumah tangga manakala Perda dan MARA membantu mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan.

Sementara itu, beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar berkata keganasan rumah tangga menunjukkan peningkatan sejak tiga tahun lalu malah, golongan lelaki turut menjadi mangsa.

“Sebenarnya keganasan tidak menyelesaikan masalah sebaliknya, hanya menambah masalah. Sehubungan itu, Klinik Kaunseling Keluarga diwujudkan bagi menangani kes berkenaan,” katanya. – BERNAMA


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © Blog Informasi Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger